YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Istana Brunei, London, United Kingdom (UK), semalam.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menyentuh berkenaan hubungan dua hala istimewa yang erat terjalin sekian lama dan usaha-usaha pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Brunei.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan komitmen Malaysia untuk mencapai hubungan dua hala yang lebih mendalam dalam bidang ekonomi dan dagangan, termasuk bidang pendidikan dan pertahanan serta kerjasama ekonomi di Sabah dan Sarawak.
“Seri Paduka Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa aliran perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Brunei boleh diperkukuhkan lagi dan banyak lagi kerjasama ekonomi dapat diterokai demi kepentingan bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook Istana Negara, hari ini.
Menurutnya, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa program Konsultasi Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei merupakan landasan penting bagi menjayakan usaha-usaha pengukuhan hubungan dua hala.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan bahawa Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan Brunei berkenaan pembukaan sepenuhnya sempadan bermula pada 1 Ogos lalu.
“Ianya memanfaatkan pergerakan rakyat kedua-dua negara, khususnya di Sarawak dan Sabah, dan aktiviti-aktiviti ekonomi di sempadan kedua-dua negara,” katanya.
Kali terakhir kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan pertemuan ialah semasa Lawatan Negara Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Brunei pada bulan Ogos 2019.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dijadualkan mengakhiri Lawatan Khas selama enam hari ke London dan berangkat pulang ke tanah air semalam.
Baginda berdua berangkat ke London, UK pada 16 September lalu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September lalu. – Malaysiapost

