TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Umno sanggup ‘meredah’ banjir tetapi bukan untuk rakyat sebaliknya demi mendapatkan kuasa.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Rafizi, berkata sebahagian besar rakyat negara ini sedang dilanda keresahan untuk menghadapi banjir, namun Umno dan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi langsung tidak bimbang.
“Mereka akan meredah banjir, tapi bukan demi kebajikan rakyat (sebaliknya) untuk dapat kuasa.
“Bila sudah dapat kuasa sepenuhnya, peraturan dan undang-undang itu boleh ditendang macam bola,” katanya menerusi Facebook.
Selain itu, Rafizi berkata, beliau percaya kenyataannya berhubung Umno dan isu banjir bekenaan akan ‘dijawab’ Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebook bekas Perdana Menteri itu.
“Mungkin satu-satunya kaki sakau duit rakyat (Najib) yang cecah rekod sakau dunia yang dapat internet dan main Facebook walau dipenjara,” sindirnya.
Dalam hantaran sama, Rafizi berpandangan sekiranya hujan yang melanda beberapa kawasan tidak berhenti sejak pagi tadi, kemungkinan beberapa tempat akan dilanda banjir.
Justeru, katanya, selain daripada berkempen memberi pencerahan kepada rakyat, masa yang suntuk ini juga perlu digunakan untuk menyiapkan persediaan PKR menghadapi bencana banjir.
“Kalau berterusan sejam dua lagi, akan ada tempat yang kena banjir kilat. Menangislah rakyat seumpama hujan yang turun pagi kebelakangan ini.
“Saya sedang uruskan dengan Fahmi Zainol, Pengarah Sukarelawan PKR untuk melatih akar umbi PKR menghadapi banjir,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Beliau berkata, penetapan masa yang sesuai adalah penting bagi memenangi PRU15 dan ia perlu dilakukan segera bagi mengelakkan penghasut di luar sana melemahkan parti dengan pelbagai fitnah dan tohmahan. – Malaysiapost

