PERIKATAN Nasional (PN) bersama PAS akan berusaha mempertahankan Kelantan daripada jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Tekad itu dizahirkan dalam mesyuarat Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu Pusat bersama kepimpinan tertinggi Armada Bersatu Kelantan semalam.
Ketua Armada Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi hantaran di Facebooknya berkata pentadbiran PAS di Kelantan perlu terus dipertahankan.
“Insha-Allah bersama PAS dan Perikatan Nasional, kami bersedia pertahankan Kelantan daripada jatuh ke tangan BN dan PH,” katanya ringkas.
Untuk rekod, PAS mentadbir Kelantan sejak 1990 di bawah pimpinan Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sehingga 2013, diikuti Datuk Ahmad Yakob sehingga kini. – Malaysiapost

