PRU ketika banjir: Pembangkang sebenarnya takut kalah – Zahid

0
2

PEMBANGKANG sengaja memperbesarkan isu Pilihan Raya Umum (PRU) kemungkinan diadakan ketika musim banjir kerana takut kalah, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) terlupa bahawa bekas Pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengadakan PRU pada musim tengkujuh, 23 tahun lalu.

Sehubungan itu Ahmad Zahid memberi bayangan BN tetap mahu PRU diadakan pada tahun ini dan tidak akan memberikan hayat politik kepada PH serta musuh politik BN.

“Pembangkang menghasut rakyat kononnya mengadakan PRU tahun ini terdedah kepada banjir.

“Mereka lupa bekas PM terakhir mereka Mahathir sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999 tak pula jadi isu besar. Terbaru tahun lepas PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk.

“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap PH hilang apabila Dr Mahathir tak mahu serah jawatan kepada Anwar Ibrahim, selain manifesto mereka gagal laksanakan,” kata Pengerusi BN itu menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata atas sebab itu PH perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN.

Tambahan pula katanya, program Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan.

“BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan,” katanya lagi.

Kelmarin ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda BN, Ahmad Zahid menyatakan kesediaan untuk meredah banjir sekiranya PRU diadakan ketika musim banjir.

Jelasnya, isyarat akar umbi yang mahu PRU diadakan tahun ini adalah jelas dan nyata termasuk lauangan “bubar” oleh lebih 10,000 Pemuda BN bergema di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda BN.

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut.

“Tetapi, kalau perdana menteri bubar masa banjir pun, (kita) sanggup redah banjir untuk bertanding,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here