PERIKATAN Nasional (PN) rela Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera dengan alasan Perdana Menteri gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PRU segera akan membolehkan sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dipilih oleh rakyat.
Jelas Muhyiddin, kejatuhan nilai ringgit antara isu yang didakwa tidak dipandang serius oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malah katanya, Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.
“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay. Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.
Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal.
“Is this okay? No, it is not okay. Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Tambah Muhyiddin, mungkin kerana itulah hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini.
Pada masa sama katanya, aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18% berpuas hati.
“Sebagai Pengerusi PN, saya telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga murah.
“Pada masa sama, BN sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan.
“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen. Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” katanya. – Malaysiapost

