PARTI Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) tidak memerlukan sokongan Pakatan Harapan (PH) untuk Tun Dr Mahathir Mohamed kembali menjadi Perdana Menteri kali ketiga.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata ia kerana pendirian Pejuang dan GTA tidak akan berada sebagai ‘coalition’ (pakatan) dalam PH.
“Sebagai lumrahnya sekiranya Pejuang atau GTA tidak bersama PH sudah pastilah mereka tidak akan mencalonkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka.
“Hakikatnya, apa pun pemimpin-pemimpin PH adalah kalangan yang cepat lupa sejarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin berkata, sekiranya Dr Mahathir tidak bersama PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, mereka tidak akan merasa nikmat menubuhkan kerajaan persekutuan.
Katanya, sejak tahun 1999 Datuk Seri Anwar Ibrahim bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi gagal.
“Tetapi ketika Anwar masih merengkuk dalam penjara di saat kita menghadapi PRU14 di mana Dr Mahathir mengepalai PH, telah berjaya menumbangkan kerajaan BN buat pertama kalinya.
“Tanpa penglibatan Dr Mahathir dalam PH pada waktu itu jangan mimpi pembangkang akan berjaya untuk menumbangkan Umno serta BN pada PRU14.
“Tidak ada siapa yang dapat memadamkan fakta ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pendirian Pejuang dan GTA menolak kerjasama dengan Anwar dan DAP mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada kalangan penyokong Melayu serta kaum lain. – Malaysiapost

