Kerajaan ditadbir Melayu gagal: DAP nak Melayu macam mana? 

0
2

DATUK Zaid Ibrahim menyelar kenyataan Tan Sri Tommy Thomas dalam forum bersama pemimpin DAP baru-baru, yang disifatkan merendah-rendahkan kepimpinan orang Melayu dalam mentadbir kerajaan. 

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Peguam Negara terbabit yang menyatakan kegagalan dua pentadbiran kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) kerana didominasi etnik Melayu turut disifatkan biadap dan perlu dijelaskan kepimpinan DAP bagi mengelak timbulnya masalah termasuk isu perkauman. 

“Ahli fikir terkemuka itu (Tommy) berucap panjang lebar mengenai kegagalan kepimpinan Melayu. Dia kata kalau kerajaan dan Kabinet ramai Melayu maka gagallah kerajaan itu. Itulah intipati ucapan dia yang turut bersamanya veteran DAP, Lim Kit Siang. 

“Saya nak tanya, Melayu macam mana yang boleh diterima oleh DAP? Kerana kalau DAP dalam kerajaan sekali pun mesti kena ramai Melayu. Jadi, DAP nak pilih Melayu yang macam mana, yang tidak gagal dan yang mampu mentadbir? 

“Boleh rakyat tahu (jenis) Melayu yang diluluskan, direstui DAP? Ini penting kerana pengundi Melayu hendak tahu. Mereka nak tahu Melayu yang disokong oleh PH ini apakah mereka Melayu berguna atau Melayu tidak berguna? Atau apakah mereka ini berguna untuk DAP semata-mata?” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini. 

Menurut Zaid, susulan kenyataan itu, pengundi juga mahu tahu apakah kriteria dipersetujui DAP kerana umum tahu di Malaysia, sesiapa yang memerintah mesti ramai menteri Melayu kerana bangsa itu lebih ramai dari kaum lain. 

“Saya hendak tanya DAP dan pucuk pimpinan parti ini, apakah mereka setuju dengan analisa dan pendekatan Tommy ini? Kalau tidak setuju sila buat kenyataan. Saya rasa isu perkauman seperti ini tidak menguntungkan, ia lebih banyak menimbulkan masalah. 

“Mana-mana bangsa sekali pun, baik Cina, India mahupun Melayu ada yang berguna, ada yang tidak berguna tetapi jangan pukul rata kata kerajaan ini gagal kerana kerajaan Melayu,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau juga memuji ucapan seimbang pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Jeyakumar yang tidak menyalahkan Melayu dalam isu perkauman kerana ia juga turut dicetuskan oleh kaum lain. 

“Bezanya dalam forum sama, Dr Jeyakumar kata isu perkauman ini jangan salahkan Melayu sahaja, ia timbul daripada semua pihak yang terlibat dalam kancah politik Malaysia. 

“Dia juga menyebut mengenai ekonomi, perindustrian, industri kecil dan sederhana (SME) yang dibolot 95 peratus orang Cina sehinggakan timbul persoalan daripadanya, apakah pekerja di industri kecil dan sederhana ada orang Melayu? 

“Jadi, perkauman ini memang wujud tapi kalau nak salahkan orang Melayu dan kepimpinan Melayu saja tidak betullah,” katanya. 

Semalam, media melaporkan Tommy mengkritik dua pentadbiran kerajaan selepas PH tumbang pada 2020 menunjukkan kegagalan kerajaan yang didominasi etnik Melayu. 

Tommy berkata, kerajaan yang mentadbir negara ketika ini menggambarkan konsep Ketuanan Melayu.– Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here