PEMBUKAAN pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) malam tadi berlangsung sengit dengan menampilkan peserta hebat.
Menerusi persembahan minggu pertama malam tadi, nama Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Tomok menjadi sebutan.
Tenaga dan keikhlasan Jaclyn membawa dua lagu ternyata memukau barisan pengadil terdiri daripada Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan juri jemputan, Rahimah Rahim dari Singapura.
Jaclyn, 43, mendapat 88.4 peratus mata, dan sekali gus mendahului 12 peserta lain.
Di tempat kedua adalah Shila Amzah (85 peratus) manakala tempat ketiga jatuh pada Tomok (84.1 peratus).
Tempat keempat milik naib juara Malaysian Idol, Dina Nadzir (83.8 peratus) disusuli dengan finalis Akademi Fantasia 2 dan AF Megastar 2017, Bob Yusof (83.6 peratus), di tempat kelima.
Sementara itu, peserta Singapura Fuad Rahman yang menyanyikan lagu ‘hit’ beliau Bila Rindu berada di tangga ke-10 dengan markah 63.7 peratus manakala pelantun lagu Kaulah Segalanya, Hazrul Nizam pula menerima 56.2 peratus di tangga ke-13.
Adeep Nahar, penyanyi kelahiran Singapura, yang bertanding bersama kumpulan VE pula di tangga kelapan dengan markah 67.1 peratus.
Awalnya, warganet mempertikai penyertaan penyanyi yang masih lagi aktif menyanyi seperti Jaclyn dan Shila dalam peraduan ini.
Mengulas mengenai itu, Ramli berkata “Jaclyn memilih ruang yang tepat untuk berkarya di Gegar Vaganza 9 untuk terus kekal relevan”.
Shila, 32, disifatkan Ramli sudah matang dan mampu mengawal suaranya dengan baik.
“Awak masih muda lagi…perjalanan masih panjang…Saya harap awak dapat lengkapi terus diri awak dengan ilmu vokal agar boleh pergi jauh lagi dalam bidang seni,” katanya.
Dalam masa sama, Tomok, 38, didapati Hetty mempunyai penghayatan yang baik tetapi dipesan agar terus berjuang dan tidak mudah berpuas hati. – Malaysiapost

