PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng hari ini membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dijangka bersifat sementara.
Guan Eng menyifatkan kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu sebagai mengejutkan selain salah dan tidak bersikap jujur.
“Penurunan nilai ringgit sekarang berbanding dolar AS bukanlah sementara apabila ringgit jatuh hampir 9% tahun ini daripada RM4.17 pada akhir 2021 kepada paras terendah di dalam 24 tahun semasa RM4.54.
“Adakah Annuar tidak akan mendengar berapa banyak lagi yang perlu ditanggung rakyat akibat harga ringgit yang semakin menurun sepanjang tahun lalu dalam bentuk kos import yang lebih tinggi?
“Kos tambahan ini pastinya tidak bersifat sementara dan tidak boleh didapatkan semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kegagalan Annuar sebagai Pengerusi Petugas Khas Jihad Tangani Inflasi juga menyebabkan rakyat perlu membayar kos faedah yang lebih tinggi.
“Selepas Annuar menjadi Pengerusi Jihad Tangani Inflasi Jun lalu, inflasi seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat daripada 3.4% pada Jun kepada 4.4% pada Julai.
“Manakala inflasi makanan meningkat daripada 6.1% pada Jun kepada 6.9% pada Julai. Kegagalan sedemikian untuk membendung inflasi menyebabkan Bank Negara meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5% bulan ini,” katanya.
Beliau berkata, Annuar juga salah untuk memberi gambaran bahawa penurunan nilai ringgit hanya berbanding dolar AS semata-mata.
Katanya, berbanding dolar Singapura, ringgit baru-baru ini juga merosot ke paras terendah di dalam sejarah iaitu RM3.26 manakala rupiah Indonesia mengukuh lebih daripada empat peratus tahun ini berbanding ringgit.
“Kejahilan Annuar dan sikap tidak menerima kenyataan berkenaan penurunan nilai ringgit kita sebagai sementara menunjukkan dia tidak tahu apa yang dia lakukan.
“Tahap ketidakcekapan seperti ini sangat jelas di kalangan Kabinet dan hanya menambah kesusahan rakyat dan perniagaan yang mahukan kepimpinan membantu mereka menangani harga yang melambung tinggi, gaji yang tidak stabil, kekurangan buruh yang teruk dan tadbir urus yang lemah,” katanya.
Semalam media melaporkan, Annuar menyifatkan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dijangka bersifat sementara.
Jelas Annuar, kejatuhan nilai ringgit sejak seminggu lalu itu membabitkan banyak faktor antaranya adalah penyelarasan dasar monetari yang sedang dilakukan oleh kedua-dua negara. – Malaysiapost

