GTA dibarisi pemimpin bersih jenayah, tuduhan mahkamah, kata Dr Mahathir

0
2

GERAKAN Tanah Air (GTA) adalah parti Melayu yang terdiri di kalangan ahli politik yang bersih daripada jenayah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Pengerusi Penaja GTA, berkata ia sekali gus memberi alternatif kepada pengundi terutama orang Melayu untuk memilih gabungan itu selain daripada Umno pada pilihan raya umum (PRU).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini rakyat Malaysia dikatakan bosan dengan politik sekali gus menyebabkan ramai yang tidak berminat untuk keluar mengundi.

“Yang malang ialah apabila mereka tidak mengundi, yang akan mengundi ialah mereka yang disogok oleh perasuah. Kesannya ialah parti perasuah yang akan menang. 

“Parti perasuahlah yang akan diri Kerajaan. Dan kerosakan negara akan berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, perkara itu dibuktikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dengan hampir lima puluh peratus pengundi tidak keluar mengundi. 

Justeru, katanya, situasi itu menyebabkan Barisan Nasional (BN)yang menerima sokongan hanya 35 peratus pengundi mencipta kemenangan besar sekali gus mendirikan kerajaan. 

“Masalahnya pengundi yang menolak sogokan tidak ada pilihan. Mereka juga tidak suka parti-parti lain yang bertanding.

“Jika negara ingin elak dari memberi kemenangan kepada Umno, pengundi perlu ada pilihan selain dari yang ada.

“Hari ini GTA telah ditubuh untuk pengundi, terutama Melayu, memilih selain dari Umno,” katanya.

Dr Mahthir berkata, selain dibarisi ahli politik yang bersih daripada jenayah, pemimpin GTA juga tidak pernah didakwa di mahkamah serta jauh sekali dipenjarakan.

“GTA juga mempunyai ramai pemimpin yang berpengalaman. Hasrat GTA ialah untuk mendiri kerajaan yang hormati undang-undang (Rule of Law) dan Perlembagaan negara. Mereka utamakan kepentingan bangsa, negara dan agama.

“Walaupun keahlian mereka terhad kepada orang Melayu mereka juga akan berlaku adil kepada kaum-kaum lain.

“Kerajaan yang akan mereka dirikan akan mencermin masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir mengajak rakyat supaya bersama-sama memulihkan negara dan bangsa daripada kerosakan kleptokrat.  

“Jelaslah dengan GTA bertanding rakyat yang bosan dengan politik, dan ketidakstabilan negara sejak Langkah Sheraton, akan dapat memilih kerajaan parti Melayu selain dari parti Umno,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah gerakan Melayu yang dipanggil  GTA untuk menentang Umno pada PRU15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here