Balu tuntut mayat juruterbang Eurocopter

0
1

MAYAT juruterbang yang maut dalam insiden helikopter terputus hubungan dan terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor pada 11 September lalu, sudah dituntut isteri mendiang, hari ini.

Isteri juruterbang berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Leung, memaklumkan perkara itu ketika ditemui media sejurus selesai urusan menuntut mayat berkenaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Mayat sudah dituntut dan kita akan melakukan upacara pembakaran mayat di Ipoh.

“Sebelum itu, kita akan mengadakan satu upacara keagamaan, pembakaran mayat tidak dibuat hari ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Leung yang bertutur dalam bahasa Kantonis, bagaimanapun, enggan menyatakan butiran terperinci.

Katanya, abu mayat mendiang suaminya, Tsz Kin Richard Chan, 58, akan dibawa pulang ke Hong Kong.

Terdahulu, Leung yang memakai baju putih, kelihatan tiba di perkarangan Jabatan Forensik ditemani seorang lagi wanita pada jam 10.40 pagi.

Kenderaan yang membawa mayat mendiang dibawa keluar dari perkarangan hospital kira-kira jam 11.15 pagi.

terdahulu, helikopter jenis Eurocopter dikendalikan juruterbang warga Hong Kong itu terputus hubungan pada jam 12.16 tengah hari 11 September lalu dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Bidor, Perak.

Helikopter berkenaan ditemui kira-kira jam 9.30 pagi 12 September lalu di Hutan Simpan Chikus dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat nahas terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here