Umno Selangor dijangka bersedia bergerak solo pada PRU-15 – Khir Toyo

0
1

KERJASAMA Umno dan Pas di Selangor pasti tidak menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini kerana Umno tegas menolak menjalinkan kerjasama dengan Bersatu, kata bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo.

Menurutnya, Muafakat Nasional (MN) telah menjadi sejarah dan kerjasama kedua-dua parti dilihat tidak mungkin berlaku dalam mana-mana kerusi pada PRU-15 ini.

“Kita dalam parti ini, kita kena ikut keputusan parti. MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan Presiden menyatakan Umno akan pergi solo. Kita pergi solo di negeri lain, tapi di Selangor Umno ada kombinasi dengan parti lain dan ini tak boleh.

“Atas dasar itu saya ingat Umno Selangor pun dah bersedia untuk pergi solo pada pilihan raya akan datang.

“Jadi soal MN ini saya rasa dah jadi sejarah, kita mungkin akan mulakan lepas pilihan raya akan datang,” katanya kepada Malaysiapost.

Belaiu bagaimanapun tidak menafikan kerjasama Umno dan Pas dapat menggugat kedudukan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

“Tidak dinafikan bila ada perpaduan akan ada kekuatan. Itu memang tak dinafikan. Tapi bila mana Pas masuk dalam Perikatan Nasional (PN) dan kita buat keputusan bahawa tidak akan bersama dengan Bersatu kerana mereka ini menikam Umno dari belakang.

“Jadi benda ini akan jadi masalah, memanglah apa-apa perpaduan itu akan memberi kebaikan tapi tidak mungkin ia berlaku di Selangor kerana Umno telah buat keputusan tidak akan bersama dengan Bersatu,” katanya.

Pada masa sama beliau menegaskan, Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai manifesto khas untuk Selangor dalam usaha menarik keyakinan rakyat sekali gus memilih BN menerajui negeri itu pada pilihan raya umum kali ini.

“Di Selangor ini saya rasa kita perlu ada manifesto sendiri atau manifesto tambahan kerana masalah-masalah yang sangat kritikal di Selangor.

“Masalah air, masalah rumah yang tinggi harganya, masalah pekerjaan dan juga masalah yang melibatkan perniagaan seperti cukai pintu dan sebagainya.

“Jadi Selangor ni, kalau kita nak menggapai hasrat rakyat kita kena ada manifesto yang khusus untuk rakyat negeri Selangor, yang boleh menyelesaikan masalah yang ada di negeri ini secara kita panggil praktikal dan ia akan menarik balik dan menguatkan keyakinan rakyat untuk bersama BN,” katanya.

Beliau berkata, menerusi manifesto yang ditawarkan, rakyat dapat menilai sama ada apa yang ditawarkan itu realistik atau sekadar retorik politik semata-mata.

“Dulu manifesto ini tidak dianggap begitu penting tapi bila mana manifesto PH ketika itu tidak dilaksanakan, rakyat hukum PH.

“PH tumbang dengan sendiri setelah 22 bulan. Jadi BN Selangor perlu ada manifesto khas untuk Selangor,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here