Kedudukan Sabah, Sarawak terus dipertingkatkan jika BN menang PRU-15 – Ahmad Zahid

0
1

BARISAN Nasional (BN) akan memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak terus dipertingkatkan jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), tegas Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak akan terus menjadi rakan kongsi yang strategik dari segi pembangunan ekonomi serta politik dan pada masa yang sama banyak lagi pembangunan yang boleh dirancang bersama di antara pusat dan negeri.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata sejak penubuhan Malaysia pada 1963 dan kini mencecah 59 tahun pelbagai asam garam hidup, pahit manis kehidupan dilalui bersama.

“Fakta yang jelas ialah tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan terbentuk. Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (kemudian keluar) bersama-sama membentuk Malaysia.

“Maka terdapat kekeliruan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia adalah tidak tepat. Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia. Sebaliknya Sabah dan Sarawak bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sempena Hari Malaysia, hari ini.

Menurutnya, dinamika sosiopolitik semasa menyaksikan Sabah dan Sarawak kini diiktiraf sebagai wilayah dan bukan lagi negeri selepas Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] berkuatkuasa pada 11 Februari 2022.

“Apabila BN kembali berkuasa penuh selepas PRU-15 akan dipastikan kedudukan Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkatkan sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan dan pembangunan di kedua-dua wilayah berkenaan menunjukkan ia mempunyai potensi yang besar untuk berkembang bersama-sama negeri lain di negara ini.

“Sempena Hari Malaysia ini marilah kita sama-sama menghayati Hari Malaysia dan terus bekerja kuat memelihara perpaduan, kesepaduan, keharmonian ekonomi dan kesejahteraan sosial bersama.

“Apapun perbezaan pandangan kita masih lagi sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan ini biasa dalam sebuah sistem negara demokrasi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah negara pelbagai etnik, agama dan wilayah latar belakang semua kita termasuk pemimpin politik tidak wajar mengemukakan kenyataan sensitif yang boleh mengguriskan hati antara satu sama etnik yang lain.

“Sesungguhnya rakyat Malaysia masih lagi matang dan rasional. Pada masa yang sama perbezaan di antara kita perlulah diraikan sebagai rakyat Malaysia untuk membina sebuah negara bangsa idaman Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here