YANG di-Pertua Negeri Pulau Pinang bersetuju membatalkan Keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2009.
Ia dipersetujui Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak susulan Mahkamah Persekutuan mengekal sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap bekas Perdana Menteri itu atas beberapa pertuduhan.
Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan, keahlian Najib sebagai penyandang D.U.P.N. dibatal dan dimansuhkan berkuat kuasa hari ini.
“Pembatalan dan pemansuhan keahlian ini selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011,” katanya menerusi kenyataan.
Isnin lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor daripada Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta seorang individu lain.
Keputusan itu dibuat Sultan Selangor setelah berunding dengan Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor dalam Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Najib dan Rosmah sebelum dianugerahkan Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.). – Malaysiapost

