Ben Ibrahim
KOPERASI Makmur Malaysia Berhad (KO-MAKMUR) berada di landasan tepat bagi mencapai misi memiliki 1,000 kilogram (kg) simpanan emas dalam tempoh lima tahun akan datang.
Keyakinan itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood ketika ditemui di pejabat urusan KO-MAKMUR di Kuantan, hari ini.
Beliau berkata, sasaran itu bersandarkan perkembangan industri emas di Malaysia dan dunia sejak kira-kira empat tahun lalu.
“Kita melihat kepada potensi industri emas yang besar dan selepas empat tahun KO-MAKMUR menyertai sektor pelaburan emas di Malaysia, banyak pencapaian yang membanggakan direkodkan koperasi ini.
“Jadi, di sinilah kita nampak betapa pentingnya gerakan koperasi dalam membantu perkembangan dan operasi sesebuah koperasi.
“Kita harap dengan sasaran dan melalui pelan jangka panjang dibuat KO-MAKMUR, kita dapat capai sasaran untuk memiliki simpanan emas sebanyak 1,000 kg dalam tempoh antara dua hingga lima tahun lagi,” katanya.
Mohd Faizuddin juga memberitahu, selain meletakkan sasaran khusus membabitkan simpanan emas, KO-MAKMUR melalui Makmur Gold juga sedang merancang untuk melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.
Katanya, proses penilaian dan mengenalpasti lokasi bersesuaian bagi membuka cawangan baharu di Pantai Barat Semenanjung itu juga adalah sebahagian strategi koperasi berkenaan untuk menguasai industri emas di Malaysia.
“Buat masa ini kita sudah memiliki 10 cawangan dan (cawangan) seterusnya di Putrajaya dijangka boleh memulakan operasi bulan depan.
“Seterusnya, kita akan membuka cawangan di Kedah, Johor sebelum ke Sabah dan Sarawak.
“Untuk tempoh lima tahun akan datang, kita juga tetap komited untuk memastikan sasaran membuka 30 cawangan di seluruh negara menjadi kenyataan,” katanya. – Malaysiapost

