PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad kerana didakwa ‘bergantung’ kepada isu perkauman untuk menutup kelemahannya dalam melaksanakan tugas.
Guan Eng berkata, tindakan Idris itu sekali gus membutikan ketidakcekapannya termasuk menteri-menteri PAS di dalam Kabinet, hari ini.
“Bergantung kepada (isu) perkauman adalah satu ketidakcekapan. Apabila saya bersetuju dengan penganalisis politik (Prof) Mohammad Agus Yusoff bahawa Menteri-Menteri PAS tidak cekap.
“Anda (Idris) menggunakan nada perkauman untuk menutup tindakan kamu memalukan mangsa, sangat dikesali dengan memalukan seorang gadis muda dan prestasi yang teruk. Sama seperti rasuah, kecekapan juga tidak mengira warna kulit,” katanya.
Semalam, Idris menyangkal dakwaan Guan Eng bahawa beliau tidak cekap dalam menjalankan tugas dan cuba mengganggu-gugat gaya hidup, hak adat serta amalan budaya orang bukan Islam.
Idris menjelaskan, Pengerusi DAP itu sengaja memercikkan api perkauman dengan mendakwa beliau telah memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisah mereka kepada umum.
“Saya kira ianya fitnah yang berat mengatakan saya memalukan individu yang dimaksudkan ketika saya mengambil pertimbangan dan neraca agama dalam menilai isu yang berlaku, yang secara terperinci saya nyatakan dalam posting saya sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Guan Eng menggesa menteri yang tidak cekap, termasuk Idris, meletak jawatan kerana tidak membawa sebarang nilai dalam melaksanakan tugasnya, selain menggugat perpaduan negara dan mengganggu gugat keharmonian agama. – Malaysiapost

