Ben Ibrahim
PKR Indera Mahkota menasihati Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah supaya tidak ‘bermain wayang’ apabila menyedari Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.
Pengurus Hal Ehwal Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail berkata kenyataan Saifuddin berkaitan status pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram, dekat Kuantan, adalah ulangan kepada kenyataan sama pada tahun 2018.
“Suka kami ingatkan bahawa perkara ini pernah dibawa kepada pengetahuan beliau kira-kira empat tahun lalu dan Saifuddin juga dibawa untuk melihat sendiri keadaan sekolah itu.
“Selepas empat tahun berlalu, baru-baru ini Saifuddin sekali lagi mengulangi kenyataan berhubung status pembinaan bangunan sekolah berkenaan.
“Adakah disebabkan PRU sudah dekat, Saifuddin teringat kembali isu terbabit? Selama empat tahun lalu adakah beliau tidak sedar SJKT Ladang Jeram masih belum memiliki bangunan sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Saifuddin pada 24 Ogos lalu ketika melawat sekolah itu, meminta Kementerian Pendidikan mempercepat pembinaan bangunan sekolah berkenaan yang tertangguh akibat masalah kontraktor.
Untuk rekod, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu memenangi kerusi Parlimen Indera Mahkota atas tiket PKR pada PRU14 sebelum ‘melompat’ ke Bersatu selepas ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.
Zuradi yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota berharap Saifuddin tidak ‘berdrama’ dan menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, masa empat tahun diberikan sudah memadai untuk ahli Parlimen Indera Mahkota itu mencari penyelesaian untuk keselesaan murid sekolah terbabit.
“Sekarang ini beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia mempercepatkan pembinaan bangunan baharu SJKT berkenaan, sedangkan isu ini sudah dibangkitkan sekian lama.
“Memanglah kita harap bangunan sekolah ini disiapkan seberapa segera yang boleh, tapi janganlah pula ia dijadikan modal politik atau untuk memancing undi,” katanya lagi. – Malaysiapost

