JURULATIH Kim Pan Gon mengekalkan majoriti pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 bagi menghadapi kejohanan jemputan Piala Raja Thai ke-48 pada 22 dan 25 September ini.
Pemain berkenaan disenaraikan sebagai antara 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Jumaat ini bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada kejohanan yang diadakan di Chiang Mai, Thailand.
Antara pemain yang terpilih untuk menyertai kem latihan berkenaan adalah pemain Selangor FC, Brendan Gan yang berehat panjang sebelum ini selepas disahkan menghidap kanser testis.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai berkenaan dalam satu kenyataan semalam.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan senarai pemain yang diumumkan, Pan Gon telah mengekalkan seramai 17 daripada 23 pemain yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 pada kempen kelayakan Kumpulan E, Jun lalu.
“Lapan pemain baharu dipanggil kali ini termasuk tiga pemain muda berusia 21 tahun dari skuad B-23 kebangsaan iaitu penjaga gol Rahadiazli Rahalim, Azam Azmi Murad dan Mukhairi Ajmal Mahadi, selain penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Sharul Nazeem Zulpakar, Brendan Gan, Zhafri Yahya dan Declan Lambert.
“Sementara 16 pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 25 pemain tersebut,” menurut kenyataan itu.
Menurut FAM, skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 16 hingga 19 September 2022, sebelum berlepas ke Chiang Mai.
“Pasukan negara akan berdepan tuan rumah, Thailand bagi hari perlawanan pertama pada Khamis, 22 September ini, jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.
“Satu lagi perlawanan menemukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan akan berlangsung di stadium sama, jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia),” katanya.
Menurut FAM, seterusnya perlawanan kedua di venue sama pada 25 September ini, membabitkan dua pasukan yang kalah perlawanan pertama bagi penentuan tempat ketiga dan keempat pada jam 6.30 petang waktu Malaysia.
“Manakala dua pasukan yang menang perlawanan pertama akan bertemu di pada aksi final jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia),” katanya. – Malaysiapost
Senarai 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya adalah seperti berikut:
- Shahrul Mohd Saad
- Corbin-Ong
- Muhammad Nazmi Faiz Mansor
- Arif Aiman Mohd Hanapi
- Muhammad Safawi Rasid
- Muhammad Akhyar Abdul Rashid
- Mohamadou Sumareh
- Mathew Davies
- Muhammad Syafiq Ahmad
- Sharul Nazeem Zulpakar
- Brendan Gan
- Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi
- Mohamad Faisal Abdul Halim
- Muhammad Rahadiazli Rahalim (PG)
- Muhammad Azam Azmi Murad
- Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PG)
- Darren Lok
- V Ruventhiran
- Ahmad Khuzaimi Piee
- Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (PG)
- Zhafri Yahya
- Declan Lambert
- Dominic Tan
- Muhamad Nor Azam Abdul Azih
- Dion-Johan Cools

