Isu ‘Kutty’: Justifikasi Zahid tiada merit, gagal – Tun M

0
1

JUSTIFIKASI pembelaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung isu ‘Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ tidak bermerit dan akan gagal.

Ia susulan Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah terhadap Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, kerana mempersoalkan asal usul bekas Perdana Menteri itu pada 2017.

Berdasarkan jawapan kepada pembelaan difailkan Tetuan Haidir & Co pada 8 September lalu, Dr Mahathir berkata, isu diketengahkan dan dibangkitkan ialah penggunaan terma ‘anak lelaki’ ketika Ahmad Zahid mengatakan sedemikian.

Beliau berkata, kenyataan fitnah oleh Ahmad Zahid selaku defendan menyebabkan orang awam tersalah maklum dan dengan itu, dikelirukan.

Katanya, ia menunjukkan bahawa penyebaran kenyataan itu dilakukan secara melulu dan tidak bertanggungjawab yang boleh diistilahkan sebagai ‘presumed malice’ (berniat jahat).

“Defendan secara tidak langsung dan sengaja membangkitkan isu perkauman. Hanya dengan mempunyai keturunan berdarah India tidak menjadikan plaintif (Dr Mahathir) ‘kurang Melayu’ atau ‘bukan Melayu’.

“Ini juga dibangkitkan oleh defendan hanya selepas plaintif tidak lagi bersama Umno, yang mana jelas menunjukkan motif dan berniat jahat.

“Defendan gagal atau enggan mendedahkan kepada mahkamah mengenai fakta, bukti jujur dan sebenar, selain ulasan kenyataan merendahkan Umno dan ahlinya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dr Mahathir, 97, yang juga bekas Pengerusi Bersatu, memfailkan saman itu menerusi tetuan itu di Mahkamah Tinggi, di sini, pada 20 Julai lalu dengan menamakan Ahmad Zahid, 69.

Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak perlu memperincikan sebarang kerugian kerana ia akan ditaksirkan oleh mahkamah nanti.

“Ia disebabkan kenyataan fitnah itu adalah libel yang bersifat ‘actionable per se’ (boleh diambil tindakan).

“Plaintif akan merujuk kepada mana-mana rekod, laporan media dan bukti lain yang berkait rapat dengan tindakan guaman ini sewaktu perbicaraan kelak bagi menyokong tuntutan dibuat,” katanya.

Sementara itu, pernyataan pembelaan difailkan Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 17 Ogos lalu, pula memetik Ahmad Zahid berkata, kenyataannya tidak langsung merujuk spesifik kepada Dr Mahathir, sebaliknya menyebut individu bernama ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan itu adalah jelas, benar dan mempunyai justifikasi jika dikatakan bersifat fitnah.

Katanya, Dr Mahathir berketurunan India, yang mana jelas sekali diakuinya dalam buku ditulis bertajuk ‘A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad’, yang diterbitkan pada 2011.

Beliau berkata, isu keturunan plaintif bukan satu perkara memalukan atau fitnah, malah ia diakui sendiri oleh Dr Mahathir dan beberapa individu lain, yang mana dilaporkan oleh portal berita dalam talian.

“Selanjutnya, defendan menyatakan kenyataan itu dibuat susulan daripada kenyataan plaintif sebelum ini yang merendah-rendahkan, memburuk-burukkan dan mencemarkan nama baik Umno, barisan kepemimpinan serta ahlinya yang berbangsa Melayu atau Bumiputera.

“Umno sejak penubuhannya memperjuangkan dan membela nasib dan taraf kehidupan rakyat Malaysia berbangsa Melayu dan Bumiputera.

Kenyataan plaintif itu turut dilaporkan portal berita iaitu KiniTV dan Perak Today.

“Susulan kenyataan plaintif, defendan selaku Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno ketika itu, hanya memberi ulasan, pandangan dan komen yang wajar.

“Wajar bagi defendan untuk membangkitkan isu penghinaan dan herdikan plaintif terhadap ahli Umno yang berbangsa Melayu, memandangkan isu itu juga turut dibangkitkan individu lain,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, plaintif tidak berhak kepada sebarang ganti rugi, termasuk teladan dan keterlaluan kerana tidak mengalami sebarang kerosakan disebabkan oleh kenyataan dibuatnya.

Katanya, plaintif juga tidak berhak kepada perintah injunksi, berikutan ia akan menyekat dan menjejaskan hak asasi serta hak perlembagaan defendan, untuk bebas bersuara seperti termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Defendan juga mengatakan bahawa perintah injunksi yang dimohon plaintif adalah sia-sia dan tidak berguna kerana tindakannya dalam memfailkan tuntutan itu, selepas hampir lima tahun adalah satu kelewatan yang melampau.

“Natijahnya, ditegaskan bahawa tuntutan itu adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah dan pelanggaran hak berperlembagaan defendan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi dan Shahrul Fazli Kamarulzaman, masing-masing mewakili Dr Mahathir serta Ahmad Zahid, mengesahkan, pengurusan kes seterusnya pada 7 November ini.

“Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Afidah Idris memberi arahan untuk memfailkan dan menyediakan dokumen untuk perbicaraan, ketika pengurusan kes, hari ini.

“Pengurusan kes seterusnya pada 7 November, di hadapan timbalan pendaftar sama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here