AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tan Sri Noh Omar menasihati Rafizi Ramli supaya mengkaji dahulu ‘kubur’ parti sendiri sebelum memikirkan ‘kubur’ untuk Umno dan Barisan Nasional (BN).
Noh berkata demikian susulan kenyataan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR itu yang meramalkan kehancuran Umno-BN dalam tempoh lima hingga ke tujuh tahun akan datang.
Beliau berkata, Rafizi perlu mengkaji dahulu ‘kehancuran’ PKR yang tewas di semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Sarawak.
“Saya dengar kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang meramalkan kehancuran Umno-BN dalam tempoh lima hingga ke tujuh tahun dari sekarang.
“Ini jawapan saya kepada beliau. Kaji dulu kehancuran PKR yang kalah keseluruhan kerusi bertanding di PRN Sarawak dan Melaka.
“Hanya 1 kerusi di Johor. Kaji kubur parti sendiri dulu sebelum nak kaji kubur parti orang lain,” katanya menerusi Facebook.
Baru-baru ini, Rafizi dalam ucapannya meramalkan Umno-BN akan terkubur dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi.
Dalam ucapannya itu, Rafizi juga turut mendakwa parti lawan PAS dan Bersatu akan turut sama berkubur bersama-sama Umno-BN.
“Saya yakin Umno dan BN akan berkubur dalam tempoh lima, tujuh tahun lagi. Itu saya yakin.
“Mustahil parti yang sudah begitu rosak begini boleh bina balik kekuatan dari bawah untuk mendepani cabaran dalam diri. Mustahil. Saya tidak bimbang langsung,” katanya. – Malaysiapost

