Semua banduan ada hak rawatan perubatan terbaik – Kit Siang

0
1

SEMUA banduan di Malaysia perlu diberi hak rawatan perubatan yang terbaik semasa dalam penjara, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, hak berkenaan juga perlu diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya bersetuju sepenuhnya dengan anak Najib Razak, Nooryana Najwa, dan menyeru kerajaan untuk memberi Najib Razak rawatan perubatan yang terbaik semasa dalam penjara, hak yang harus diberikan kepada semua banduan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang mengulas mengenai rayuan keluarga Najib supaya kerajaan memberikan rawatan perubatan terbaik kepadanya, selepas beliau dimasukkan ke hospital minggu lalu akibat ulser perut.

Beliau bagaimanapun sangsi dengan keadaan sebenar kesihatan Ahli Parlimen Pekan itu yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Menurutnya, ia susulan kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menafikan bekas Perdana Menteri itu sakit tenat dan tidak mendapat rawatan sewajarnya.

“Saya lebih percaya Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) daripada kisah dramatik Najib berubah daripada Perdana Menteri yang paling sihat, seorang ‘Bossku’ yang menjaga dirinya cergas dan langsing tiba-tiba menjadi pesakit di ambang kematian yang menerima rawatan perubatan yang teruk di penjara.

“Ia juga sebab yang sama mengapa saya tidak percaya propaganda dan cybertrooper Najib yang mendakwa bahawa Najib sedang dipenjarakan kerana tiada kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman yang bebas di Malaysia,” katanya.

Kit Siang berpendapat, penyokong Najib telah berputus asa untuk mempertahankan Najib daripada kes rasuah dan menumpukan pada dakwaan bahawa beliau dinafikan keadilan oleh mahkamah.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan rawatan yang terbaik kepada Najib selepas menerima makluman mengenai keadaan kesihatannya.

Susulan itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan kesihatan terhadap bekas Perdana Menteri itu sudah dijalankan pada 9 September lalu dan disahkan berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga sebanyak dua kali yang telah dihadiri Najib dan ahli keluarganya bagi memaklumkan keputusan ujian kesihatan yang dijalankan mengikut amalan profesional kedoktoran.

Beliau berkata, mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here