TUNTUTAN Perikatan Nasional (PN) agar penyandang yang melompat dari Umno dikekalkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menjadi antara sebab utama Umno tidak berpakat dengan PN.
Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, berkata Umno mahukan kembali kerusi-kerusi dimenangi yang kemudian penyandangnya melompat ke Bersatu.
“Antara banyak sebab kenapa kami tak berpakat dengan PN ialah perkara ini. Kerana ‘demand’ PN itu merangkumi suatu tuntutan bahawa sesiapa yang melompat harus dihormati sebagai ‘incumbent’ dan tidak diganggu.
“Umno tak boleh terima kerana calon itu menang pun atas tiket dan titik peluh Umno keseluruhannya, bukan tubuh badan individu semata-mata,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyentuh berhubung sikap Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam satu wawancara baru-baru ini.
Mengulas lanjut Shahril berkata, keadaan itu sama seperti Pas dengan Amanah di mana Pas tetap meletakkan calon di kawasan penyandangnya adalah bekas ahli Pas yang melompat ke parti Amanah.
“Tiada siapa yang tuduh Pas penting diri atau penting kuasa. Atau cuba memaksa Pas beri laluan demi ‘kemaslahatan’ lebih besar dan sebagainya. Samalah untuk kes Umno dan Bersatu,” tegasnya.
Menjawab mengenai dakwaan hanya ahli yang kalah dalam pilihan raya sebelum ini sahaja yang tidak boleh terima kerjasama dengan Bersatu untuk PRU-15, beliau menegaskan ia adalah tidak benar.
“Pendirian itu sudah menjadi keputusan parti yang disuarakan di Perhimpunan Agung Umno (PAU). Dan ahli-ahli akar umbi yang majoriti besarnya tidak terfikir pun untuk menjadi wakil rakyat juga menolak kerjasama agihan kerusi dengan Bersatu.
Mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang mahu Umno ‘melihat kerangka besar’ dalam PN, Shahril membandingkannya dengan sikap Pas yang tidak pernah bercakap hendak bekerjasama dengan Amanah untuk pilihan raya.
“Mereka juga ada peranan dalam kerangka besar itu (kalau ikut logik kerangka besar). Sama-lah kami tak akan bercakap kerjasama dengan Bersatu,” katanya.
Shahril berkata, isu merebut jawatan dan tidak memberi fokus kepada rakyat juga tidak timbul dalam penolakan kerjasama dalam PN, sebaliknya dalam pilihan raya memang kena bersaing untuk mandat rakyat.
“Sesiapa yang menang nanti kenalah teruskan tanggungjawab kepada rakyat, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

