Ringgit mengukuh berbanding mata wang negara dagang tertentu – Annuar Musa

0
2

PASUKAN Jihad Tangani Inflasi sudah diberi penerangan mengenai isu yang menjadi keresahan rakyat ketika ini termasuk kejatuhan nilai Ringgit Malaysia dan sebagainya.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa, berkata selain itu Bank Negara Malaysia (BNM) turut memberikan pembentangan dan penjelasan lebih lanjut mengenai isu-isu berkenaan.

“Berkaitan dengan beberapa polimik yang dibangkitkan tentang keresahan kerana kejatuhan nilai ringgit dan sebagainya, jawatankuasa pada hari ini telah diberikan pembentangan dan penjelasan lebih lanjut oleh BNM.

“BNM juga turut memberikan beberapa nasihat dan garis panduan tentang fakta-fakta tertentu yang kemungkinan tidak sampai kepada orang ramai.

“Sebagai contoh keresahan tentang penurunan nilai ringgit. Sebenarnya itu terhad kepada nilai ringgit dengan nilai mata wang yang tertentu khususnya Dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, hari ini.

Beliau berkata, sebenarnya kalau dilihat secara lebih menyeluruh, nilai ringgit berbanding dengan mata wang negara-negara dagang tertentu, adalah mengukuh.

“Sebagai contoh nilai ringgit berbanding Yen, Jepun mengukuh sebanyak 15.5 peratus. Nilai ringgit berbanding Pound Sterling mengukuh 8.2 peratus dan nilai ringgit berbanding Won, Korea mengukuh 7.3 peratus, manakala nilai ringgit dengan Euro mengukuh sebanyak 4.4 peratus.

“Dari keseluruhan prestasi kita dari segi nilai mata wang adalah lebih baik, tetapi dari segi berbanding Dolar AS ada perkara yang diteliti BNM sepanjang masa dan perlu membuat beberapa penyelarasan tertentu termasuk mengawal selia kadar kenaikan OPR.

“Disebabkan Inflasi beberapa negara mengambil langkah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar lebih tinggi iaitu 0.5 atau 0.75 peratus, tetapi di Malaysia secara berperingkat,” katanya.

Annuar berkata, ia adalah kaedah yang digunakan secara berbeza-beza oleh agensi yang mengawal polis kewangan negara.

“Ia tidak diputuskan oleh Jawatankuasa Jihad atau Kabinet, tetapi ia diputuskan oleh pakar-pakar terutama Ahli-Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang ditadbir di bawah Akta Bank Negara.

“Kita tahu BNM mempunyai rekod yang cemerlang dalam menguruskan ekonomi negara dan tidak perlu rasa sangsi atas tindakan-tindakan yang dilakukan oleh MPC yang bersidang setiap tiga bulan,” katanya.

Mesyuarat MPC pada 8 September lalu mengumumkan BNM menaikkan 25 mata asas (bps) dalam OPR kepada 2.50 peratus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here