KERAJAAN mengerahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah diaktifkan segera untuk menghadapi bencana banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan turut bersetuju peranan JPBD di semua lokasi bencana diperkasakan.
“Hari ini saya mempengerusikan mesyuarat JPBP yang dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar/Ketua Menteri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta agensi terlibat.
“Ini kerana JPBD mempunyai fungsi penting untuk melaksanakan kerja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JPBN menyelaras di peringkat Pusat serta negeri.
“Bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.
“Kerajaan memperuntukkan RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan, fasa peralihan monsun akan bermula pertengahan September sehingga November.
MET Malaysia menjangkakan monsun timur laut tahun ini bermula pada November Mac tahun depan.
Perdana Menteri juga menjelaskan, Kementerian Pendidikan diarah supaya asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana digunakan oleh orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita.
“JKM juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS.
“NADMA juga telah mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 buah cubicle tent bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri berkata, JPBN dan JPB Daerah perlu bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.
“Sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana MTL 2022/2023 kepada JPBN untuk kegunaan 160 daerah.
“Kerajaan turut memperuntukan RM4.8 juta bagi menyediakan 320 bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana,” katanya. – Malaysiapost

