5G: Sabah, Sarawak tidak harus terpinggir

0
2

TIDAK dapat dinafikan bahawa pada masa kini, selain daripada bekalan elektrik dan air bersih, capaian internet berkelajuan tinggi telah menjadi keperluan asas bagi semua rakyat Malaysia.

Bukan saja di Semenanjung Malaysia, bahkan Sabah dan Sarawak tidak terlepas daripada keperluan ini.

Era pasca pandemik Covid-19 menjadi penggunaan internet satu keperluan wajib baik dalam sektor pendidikan mahu pun perniagaan.

Kita masih tidak lupa bagaimana pelajar di Sabah dan Sarawak tepaksa memanjat bukit dan pokok bagi mendapatkan akses untuk mengikuti pembelajaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Akses internet ini penting bagi memastikan peluang untuk kemajuan digital itu adalah sama rata bagi semua, sama ada dari aspek ekonomi mahupun sosial.

Dengan capaian internet berkelajuan tinggi, para pelajar di kawasan Betong, Baram malah Kinabatangan tidak perlu lagi bersusah payah berjalan kaki berpuluh malah ratusan kilometer untuk mengikuti pendidikan atas talian.

Petani dan peladang di kawasan luar bandar dapat meningkatkan pendapatan menjual hasil segar terus dari ladang, tanpa menguntungkan orang tengah.

Perniagaan sosial dapat diperluas ke seluruh pelusuk negeri Sabah dan Sarawak, memastikan tiada lagi rakyat yang ketinggalan dari aspek ekonomi mahupun sosial.

Sudah berpuluh tahun rakyat Sabah dan Sarawak dinafikan hak kami kepada capaian internet dan di-anak tirikan oleh syarikat telekomunikasi yang menekan dan mengaut untung berbilion ringgit di atas akses talian yang sangat menyedihkan.

Kami menuntut agar pelaksanaan infrastruktur 5G yang menyeluruh di Sabah dan Sarawak ditekankan sebagai salah satu agenda utama di dalam Belanjawan2023 – agar semua rakyat dapat menikmati kesamarataan digital dan “digital inclusivity” ke arah Malaysia yang lebih mapan dan lestari.

Kami komited dan tidak mahu pengalaman buruk Veveonah tempoh hari menjadi ulangan dan alasan bagi mana-mana rakyat Sabah dan Sarawak untuk mendapat hak yang sama terhadap keperluan asas kami.

Ikhlas
Rahman, Tawau, Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here