SULTAN Sharafuddin Idris Shah hari ini telah berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Turut ditarik balik darjah kebesaran ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman.
Keputusan itu dibuat Sultan Selangor setelah berunding dengan Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor dalam Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Najib dan Rosmah sebelum dianugerahkan Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) manakala Mohd Arif dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS).
Penarikan balik berkuat kuasa hari ini, selaras kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Merangkap Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim menerusi kenyataan memaklumkan Najib dikurniakan S.P.M.S. Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992.
“Beliau telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd.
“Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran S.P.M.S. Kelas Pertama dan Darjah Kebesaran D.P.M.S. Kelas Kedua adalah ditarik balik dan dibatalkan,” katanya.
Sementara itu Haris berkata, Rosmah dikurnia Keahlian S.P.M.S. Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.
“Beliau didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.
“Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.
“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang S.P.M.S. Kelas Pertama ditarik balik dan dibatalkan,” katanya.
Tambahnya, Mohd Arif pula dikurniakan Keahlian D.S.I.S. yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2005, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga pada tahun 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat pada tahun 2001.
“Beliau telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah.
“Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang D.S.I.S.) Kelas Kedua, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat ditarik balik dan dibatalkan,” katanya lagi. – Malaysiapost

