SEMUA 25 kawasan Parlimen di Sabah sudah bersedia memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jaminan itu diberikan BN Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam.
Ia dinyatakan dalam mesyuarat sempena lawatan kerja Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan ke Kota Kinabalu untuk meninjau kesiapsiagaan Umno dan BN Sabah menghadapi PRU15.
“Di Sabah, terdapat 25 kawasan Parlimen dan semua nyatakan komitmen untuk berkerja keras menangkan BN di kawasan masing-masing,” kata Mohamed Khaled menerusi hantaran di Facebooknya.
Mesyuarat tersebut antara lain Mohamad Hasan yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bertemu pimpinan Biro Politik setiap bahagian yang mewakili 25 Parlimen seluruh Sabah.
Sabah adalah negeri terakhir setelah menjelajah ke seluruh 13 negeri kecuali Sarawak untuk menilai tahap kesiapsiagaan jentera BN dan potensi kemenangan di seluruh 191 Parlimen dan 531 DUN bagi menghadapi PRU15. – Malaysiapost

