Pengerusi DAP Lim Guan Eng, membidas tindakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kerana didakwa membuat berita palsu berhubung keadaan juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang di Bidor, Perak, semalam.
Guan Eng berkata, Ka Siong tidak sepatutnya memalukan Malaysia dengan membuat berita palsu dengan ‘menukar cerita’ berhubung keadaan juruterbang berkenaan.
“Mula-mula dia (Ka Siong) mendakwa juruterbang helikopter Eurocopter EC120B ditemui hidup.
“Kemudian dia menukar ceritanya dengan mengatakan bahawa juruterbang itu ditemui hidup tetapi kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan,” katanya menerusi Facebook.
Guan Eng berkata, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri mendedahkan fakta sebenar bahawa juruterbang itu ditemui mati di tempat kejadian di lokasi nahas di Bidor, Perak.
“Jelas bahawa Mohd Yusri lebih layak dalam menjalankan kerjanya berbanding Wee (Ka Siong).
“Boleh Wee jelaskan kesilapannya yang teruk ini? Takziah kepada keluarga juruterbang helikopter, Richard Chan Tsz Kin, warga Hong Kong berusia 58 tahun,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, mayat juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang hilang dari radar di sekitar Hutan Simpan Chikus, Perak, ditemukan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Mayat Tsz Kin Richard Chan, 58, ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di bahagian kokpit helikopter sebelum dibawa keluar pada jam 10.12 pagi.
Mohd Yusri berkata, mangsa adalah warganegara Hong Kong dan bekerja dengan syarikat swasta penerbangan berkenaan. – Malaysiapost

