ISTIADAT penghormatan terakhir mendiang Ratu Elizabeth II akan berlangsung selama empat hari sebelum upacara pengebumian baginda di Westminster Abbey pada Isnin, 19 September depan.
Istana Buckingham turut mengeluarkan butiran mengenai istiadat tersebut, lapor agensi berita United Press International.
Orang ramai akan dibenarkan untuk melakukan penghormatan terakhir pada masa berkenaan.
Sebelum itu, jasad mendiang Ratu akan bersemayam di St Giles Cathedral Edinburgh, selama 24 jam mulai Isnin 12 September dengan orang ramai boleh memberi penghormatan.
Perjalanan terakhir Ratu akan bermula Ahad, dengan keranda yang diperbuat daripada kayu oak dibawa oleh penjaga dari Balmoral ke Edinburgh.
Ia akan memandu perlahan ke Istana Holyroodhouse pada jam 4 petang waktu tempatan.
Pada petang Isnin, ia akan diiring ke Katedral St Giles, Edinburgh, bersama ahli Keluarga Diraja selama 24 jam.
Keesokan harinya, Puteri Anne akan mengiringi jasad mendiang ibunya ketika diterbangkan pulang ke London.
Keranda Ratu akan dibawa dari Lapangan Terbang Edinburgh ke Istana Buckingham melalui RAF Northolt.
Pada petang Rabu, ia akan dibawa ke Westminster Hall, dijangka tiba pada jam 3 petang waktu tempatan.
Pengebumian Negara yang dijadual berlangsung pada Isnin, 19 September akan bermula dengan perarakan dari London ke Istana Windsor.
Selepas upacara pemakaman di Westminster Abbey, jasad mendiang Ratu Elizabeth akan dibawa ke Windsor untuk disemadikan di Gereja Memorial King George VI di Windsor.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan tempoh berkabung akan berlangsung sehingga hari pengebumian negara.
Keluarga Diraja akan menyambung tempoh berkabung selanjutnya selama tujuh hari selepas itu. – Malaysiapost

