6 laporan polis dibuat terhadap pendakwah selebriti

0
2
Polis

SEBANYAK enam laporan polis diterima setakat ini ke atas seorang pendakwah selebriti tanah air yang dikaitkan dengan kes jenayah amang seksual terhadap remaja lelaki.

Difahamkan, empat laporan polis itu dibuat di Selangor manakala dua lagi dibuat mangsa di Negeri Sembilan.

Menurut sumber, mangsa dikatakan pernah mengikuti program motivasi bersama suspek berusia 40-an itu sebelum ini dan daripada situ mereka saling mengenali.

“Suspek juga difahamkan pernah ke rumah mangsa dan hubungan itu bertambah akrab sebelum remaja terbabit menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh selebriti berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan pendakwah itu dilaporkan berkenalan dengan pengadu sewaktu mengikuti program sesi motivasi sebelum dipujuk dan paksa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap empat remaja lelaki.

Difahamkan suspek lelaki berusia 40-an terbabit sudah ditahan polis Khamis lalu, susulan laporan dibuat beberapa mangsa membabitkan remaja sekolah.

Sumber berkata, mangsa kes amang seksual fizikal terbabit mendakwa diarah melakukan perbuatan tidak senonoh oleh suspek yang pernah menyertai program realiti agama sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata setakat ini, Polis Kontinjen Selangor menerima empat laporan polis iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, satu di IPD Shah Alam dan satu di IPD Kajang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, semua laporan polis itu dibuat oleh empat individu berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh seorang penceramah bebas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here