DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menggesa portal Negara Merdeka untuk menurunkan segera artikel bertajuk ‘Buka aib bapa, bekas Menteri Agama PN anggap Idris bodoh’.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau tidak tergamak menyatakan demikian kerana Datuk Idris Ahmad adalah sahabatnya, malah sesiapa sahaja yang beliau kenali, dianggap sebagai sahabat dan rakan tanpa mengira latar belakang politik.
Justeru, tegasnya, kenyataan daripada portal tersebut secara jelas bertujuan mengeruhkan keadaan dan mencipta situasi yang sama sekali tidak wujud.
“Saya konsisten mengulas isu-isu semasa semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui Bayan Linnas, melalui Majalah Al-Bayan ketika menjawat jawatan Menteri, dan kini melalui ruangan Al-Mawaqif [https://zulkiflialbakri.com/category/al-mawaqif/].
“Berkenaan isu yang dilaporkan, boleh rujuk kenyataan saya di sini [https://bit.ly/3BpHuKq]. Pembaca boleh menilai dan jelas sama sekali saya tidak mengeluarkan perkataan sebegitu kepada beliau,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Zulkifli, tindakan itu bukanlah pendekatan dan cara beliau untuk membodohkan sesiapa walaupun kepada pihak yang tidak disetujui dan ia laras bahasa yang amat buruk.
“Justeru, saya minta Negara Merdeka menurunkan segera artikel tersebut daripada portal mereka. Semua pihak yang terlibat dalam usaha politik kotor ini perlu berhenti segera tindakan keji sebegini. Politik yang mengenepikan akhlak dan agama adalah politik yang hina dan kotor.
“Malah Malaysia akan kekal di takuk yang sama jika permainan politik rendah akal sebegini terus dimainkan,” katanya.
Sehubungan itu, Zulkifli memohon kenyataan beliau disebarkan agar dapat memastikan sesiapa sahaja di sebalik Negara Merdeka sedar akan buruknya menyebarkan fitnah.
Baru-baru ini, portal berita Negara Merdeka mengeluarkan satu artikel ‘Buka aib bapa, bekas Menteri Agama PN anggap Idris bodoh’. di portal berita itu pada 7 September lalu.
Artikel itu dikeluarkan susulan kenyataan Zulkifli berhubung tindakan pelakon remaja, Puteri Balqis mendedahkan perbuatan tidak senonoh bapanya di media sosial baru-baru ini. – Malaysiapost

