DATUK Seri Najib Razak sekali lagi menafikan dakwaan yang tular di media sosial, kononnya beliau ditempatkan di sebuah rumah pegawai Penjara Kajang, bukannya di dalam sel penjara.
Perkara itu dijelaskan Najib menerusi satu hantaran bergambar di Facebooknya, dipercayai dimuatnaik pengendali laman sosial miliknya.
Najib kini berada di Penjara Kajang setelah Mahkamah Persekutuan mengekal sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
“Gigih sungguh,” tulis Ahli Parlimen Pekan itu ringkas yang ditujukan kepada mereka yang menyebarkan berita tidak benar terhadapnya.
Beberapa hari lalu, Najib memuatnaik hantaran menjelaskan bahawa rumah yang didakwa milik pegawai penjara, sebenarnya inap desa milik seorang peneroka Felda Kledang, Ithnin Abdullah.
Beliau turut berkongsi pautan video lawatannya ke rumah tersebut pada Jun lalu.
Terdahulu tular tangkap layar di media sosial yang mendakwa Najib tidak ditempatkan di dalam sel penjara, sebaliknya berada di sebuah rumah pegawai Penjara Kajang yang terletak dalam kawasan penjara terbabit.
Susulan itu Jabatan Penjara menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan ia adalah palsu dan meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita tidak sahih. – Malaysiapost

