PEMUDA Umno akan membantu menyelesaikan masalah dihadapi 200 guru berhubung rayuan pelanjutan tempoh tamat pengajian dan penarikan balik notis tuntutan ganti rugi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya memandang serius isu tersebut kerana melibatkan kebajikan pendidik anak bangsa yang terkesan dalam situasi luar biasa pandemik Covid-19.
Beliau semalam menerima kunjungan Kesatuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pascasiswazah kohort 2018 penerima biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) peringkat Sarjana yang mewakili 200 guru.
Katanya, ia bagi mendengar rintihan mereka berkenaan isu rayuan pelanjutan tempoh tamat pengajian dan penarikan balik notis tuntutan ganti rugi KPM.
“Mereka tidak berjaya menghabiskan pengajian dalam tempoh ditetapkan iaitu selama tiga tahun (ditetapkan KPM) berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dijalankan selama dua tahun membataskan pergerakan mereka untuk mengumpul data atas penutupan sekolah, universiti dan pelbagai industri lain.
“Mereka hanya diberi lanjutan pengajian selama tiga bulan berbanding hampir dua tahun terkesan akibat pelaksanaan PKP,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Asyraf, mereka juga perlu membayar ganti rugi berjumlah RM100,000 sehingga RM160,000 dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis, selain menjejaskan Buku Rekod Perkhidmatan kerana gagal menamatkan tempoh pengajian dalam tempoh diberikan.
“Apa yang lebih membimbangkan guru-guru yang terkesan ini mengalami gangguan emosi dan tekanan berikutan berhempas-pulas menamatkan pengajian dalam situasi luar biasa pandemik, selain sumber pendapatan terjejas berikutan arahan pemotongan gaji (hampir RM900 sebulan),” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, mereka telah menghantar rayuan kepada KPM dan minta pertimbangkan beberapa perkara.
“Pertama, melanjutkan tempoh Lulus Senat/Tamat Pengajian sehingga 31 Disember 2022 supaya semua guru dapat menamatkan pengajian dalam tempoh yang sewajarnya.
“Kedua, diberi Penarikan Balik/Pembatalan Notis Tuntutan Ganti Rugi Mungkir Perjanjian Biasiswa/Cuti Belajar KPM sekiranya berjaya menamatkan pengajian sehingga 31 Disember 2022.
“Yang terakhir, menangguhkan arahan bayaran dan menangguhkan arahan catatan pada rekod Buku Perkhidmatan seperti yang diarahkan dalam Notis Tuntutan Ganti Rugi sehingga rayuan dipertimbangkan dan diluluskan,” katanya.
Kata Asyraf, pihaknya akan perjuangkan isu itu kepada pihak yang bertanggungjawab agar rayuan tersebut dipertimbangkan dengan sewajarnya. – Malaysiapost

