Sara hidup meningkat, pengeluaran khas KWSP 2.0 wajar dilaksanakan

0
1

KERAJAAN wajar membenarkan pengeluaran khas daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengikut kategori dan keperluan bagi mengurangkan beban kehidupan kini.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR), Azmi Mohd Tahir, berkata pengeluaran khas KWSP 2.0 itu amat diperlukan golongan B40, M40 dan individu yang diberhenti kerja termasuk ibu tunggal.

“Bagi suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap serta tidak aktif lagi mencarum, kita berharap mereka dibenar mengeluarkan semua simpanan persaraannya.

“Ini bagi membantu mereka menyara kelangsungan hidup yang semakin terhimpit, di samping membantu ekonomi keluarga dan kemajuan pendidikan anak mereka.

“Masalah sama dialami bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja secara sukarela, baru berhenti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta sukar mendapat pekerjaan disebabkan faktor usia dan kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, pencarum B40 dan M40 yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun ke bawah dan mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi RM20,000 sepatutnya dibenar mengeluarkan 30 peratus daripada akaun berkenaan.

Katanya, pengeluaran ini mengikut keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk mengatasi masalah ekonomi tidak menentu dan peningkatan harga barang berterusan, memandangkan sehingga kini kerajaan masih gagal menanganinya dengan baik.

“Bagi pencarum B40 dan M40 yang aktif mencarum serta mempunyai baki simpanan di Akaun 1 kurang RM20,000 mereka seharusnya dibenar mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki RM200 dalam Akaun 1 dan 2,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here