DATUK Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau tidak pernah bercakap di khalayak ramai untuk bertanding kerusi Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya Timbalan Presiden Umno itu berkata, apa yang diberitahu kepada umum selama ini hanya hasrat untuk bertanding di Parlimen selepas memegang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 2004.
“Saya tidak pernah kata akan bertanding kerusi Parlimen Rembau. Saya cuma kata sudah sampai masa untuk saya bertanding peringkat Parlimen.
“Dengan kedudukan sebagai Timbalan Presiden parti, sudah tentu saya akan diberi peluang untuk memilih kerusi mana yang hendak saya tandingi,” kata Ketua Umno Bahagian Rembau itu hari ini, memetik laporan Kosmo!
Beliau ditemui media selepas merasmikan Mini Ekspo Keselamatan dan Kesihatan sempena sambutan Hari Malaysia 2022 anjuran Persatuan Penduduk Bandar Sri Sendayan di Seremban.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata beliau tidak akan mempertahan kerusi itu pada PRU15.
Ini kerana katanya, beliau diminta oleh Mohamad untuk memberi laluan bagi membolehkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bertanding di Parlimen Rembau.
Sementara itu Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, ketika ini belum ada keputusan muktamad mengenai calon yang akan disenaraikan BN termasuk untuk kerusi Parlimen Rembau.
“Kami belum bincang pasal calon dan kawasan. Perbincangan hanya tertumpu kepada tahap siap siaga terutama jentera bagi menghadapi PRU kelak,” katanya. – Malaysiapost

