Baca, fahami alasan penghakim sebelum buat kesimpulan – Tengku Maimun

0
1
https://politikcermai.blogspot.com/2021/01/ketua-hakim-negaratun-tengku-maimun.html

AHLI politik dan masyarakat digesa membaca serta memahami alasan penghakiman sesuatu kes mahkamah terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan dan kesimpulan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman, terutama selepas keputusan mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak, adalah berdasarkan sentimen semata-mata.

Tegasnya, komen dan serangan yang dibuat menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang, sekali gus membawa kepada kenyataan dan ulasan yang tidak relevan.

“Pandangan peribadi saya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana tidak membaca alasan penghakiman.

“Apabila tidak baca, tidak faham. Bila tidak faham, akan membuat komen yang tidak sesuai dan relevan dengan isunya.

“Keseluruhannya boleh dikatakan ia berdasarkan sentimen semata-mata tanpa kefahaman tentang undang-undang dan alasan penghakiman itu sendiri. Keputusan mahkamah itu sendiri tidak difahami dengan sebenarnya,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan 2022 Kali Ke-2 anjuran Majlis Peguam Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Maimun diminta mengulas serangan terhadap institusi kehakiman oleh beberapa pihak susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekal sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Ditanya saranan kepada ahli politik dan masyarakat, Tengku Maimun meminta mereka membaca dan memahami sesuatu isu, selain bertanya pada pakar sebelum membuat kesimpulan.

Tegasnya, tindakan membuat kesimpulan dan kenyataan tanpa pemahaman adalah tidak adil dan hanya akan mencetuskan situasi yang huru-hara.

“Jika tidak faham, tanya. Jika sudah baca (alasan penghakiman) dan tidak faham, tanya pada individu yang tepat. Jangan begitu mudah membuat kesimpulan tanpa kefahaman penuh. Ini perkara asas.

“Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan terhadap isu yang kamu tidak faham. Ia akan menyebabkan huru-hara pada semua perkara.

“Jika kamu tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here