Ratu sendiri tekan butang rakam, detik manis Raihan bersama Ratu Elizabeth

0
2

KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II pada usia 96 tahun hari ini telah mengimbau nostalgia kumpulan Nasyid Raihan mengadakan persembahan di hadapan baginda pada tahun 1997. 

Meskipun 25 tahun telah berlalu, namun bagi salah seorang ahli kumpulan Raihan, Che Amran Idris berkata, kenangan dijemput baginda untuk mewakili Malaysia 

mengadakan persembahan pada majlis gala diraja di Edinburgh, Scotland, pada 1997 itu masih segar dalam ingatannya. 

Malah menurutnya, itulah persembahan pertama mereka di peringkat antarabangsa setelah kemunculan mereka yang membawa irama nasyid mencetus fenomena muzik tanah air, setahun sebelumnya. 

Katanya, siapa sangka, ratu yang berkuasa selama 70 tahun di singgah sana itu telah membuka jalan kepada Raihan untuk dikenali di persada antarabangsa.

Che Amran menjelaskan, majlis gala yang diadakan sempena Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) itu, menyaksikan setiap negara Komanwel menyampaikan persembahan masing-masing.

Menariknya, persembahan Raihan yang disertai lima anggota itu telah mendapat perhatian Ratu dan Putera Charles, malah baginda pergi ke belakang pentas untuk bertemu mereka, cerita Che Amran dipetik FMT.

Setahun kemudian, Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998, dengan Ratu Elizabeth merasmikan majlis penutup.

Mengimbas kenangan itu, Che Amran berkata, sebelum ketibaan baginda, Raihan dimaklumkan oleh Wisma Putra bahawa Istana Buckingham telah meminta pertemuan diadakan antara Ratu Elizabeth dan kumpulannya.

Pertemuan itu, yang menurut Che Amran “masih segar dalam ingatan”, diadakan di Synchrosound Studio di Petaling Jaya. 

Detik kenangan paling tidak dapat dilupakan, Che Amran berkata, apabila Ratu Elizabeth sendiri yang menekan butang rakam ketika Raihan mahu merakamkan lagu hit mereka Syukur, yang sepatutnya dikeluarkan pada tahun sebelumnya. 

“Untuk rakaman semula itu, Ratu sendiri menekan butang ‘rakam’. 

“Selepas itu, kami berbual pendek dengan Ratu, yang kemudian berkata baginda menghormati kerja kami dan gembira kerana ia diterima dengan baik.

“Baginda berkata ia membantu mempromosikan ‘Wajah manis Islam’ di seluruh dunia dan baginda berbangga dengan kejayaan kami.

“Kami benar-benar terharu dengan apa yang diperkatakan oleh Ratu dan ia memberi kami keyakinan bahawa kami boleh mempamerkan, dan mendapat pengiktirafan untuk, produk Malaysia kami di peringkat global,” katanya.

Sebelum Ratu Elizabeth meninggalkan studio, baginda telah dihadiahkan CD Raihan sebagai tanda penghargaan kerana sanggup mencemar duli bertemu mereka. 

“Raihan tidak pernah menyangka akan memperolehnya. Baginda memegangnya sendiri, baginda tidak mahu pengawal peribadinya memegangnya,” katanya yang amat teruja dengan sambutan Ratu Elizabeth terhadap Raihan. 

Sejak pertemuan itu, nama Raihan kian masyur di persada antarabangsa. Kunpulan itu telah membuat persembahan di Australia, Kanada, China, Perancis, Indonesia, Rusia, Singapura, Arab Saudi, Thailand, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here