Tun M hanya mahu Umno terkubur selama-lamanya – Mohd Puad

0
1

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa, kenyataan dibuat Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak tidak membersihkan Umno dari rasuah, hanyalah retorik.

Menurutnya, Ahli Parlimen Langkawi itu hanya mahukan Umno terkubur buat selama-lamanya dengan memenjarakan Najib dan juga Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Betullah apa yang Tun M (Dr Mahathir) cakap dalam Facebook selepas keluar hospital. Menyumbat Najib ke dalam penjara tidak membersihkan Umno dari rasuah.

“Itu retorik Tun M. Sebenarnya dia mahu Najib dan Zahid masuk penjara supaya Umno dihapuskan dan terkubur selama lamanya. Pertuduhan rasuah jadi alat politik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, menegaskan Umno bukan parti rasuah sebaliknya parti Bersatu yang diasaskan Dr Mahathir adalah parti rasuah.

” Apabila dia (Dr Mahathir) tubuh Bersatu, ramai ‘katak’ melompat masuk Bersatu. Maka Bersatu adalah parti rasuah. Dia bapa rasuah kerana buang kes Lim Guan Eng (Menteri Kewangan ketika itu),” katanya.

Menurutnya lagi, Dr Mahathir mengharap mendapat ‘untung besar’ apabila Najib dipenjarakan, namun sebaliknya parti Pejuang dipimpinnya yang akan terkubur terus.

“Parti Pejuang akan jadi padang jarak padang tekukur. Di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semua calonnya hilang wang pertaruhan. Jentera pilihan raya pun tidak ada. Itu petanda awal.

“Tun M masih bernafsu besar. Dia berjaya memenjarakan Najib. Tetapi jiwa dan mental Tun M akan terpenjara selamanya kerana Umno tetap bangkit di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here