Sentimen ‘berhenti’ Pas terus jadi hambatan – Mohd Khairuddin

0
1

AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan beliau bersedia sepentas dengan Pas dalam apa sahaja program, namun sentimen beliau ‘berhenti’ dari parti itu terus diperkatakan ketika ini.

Bekas pemimpin Pas itu, berkata beliau kini dilihat ‘mesra’ Umno, sedangkan masih menghadiri program kerajaan negeri Terengganu apabila dijemput kerana beliau bukan pembangkang, selain masih ahli Parlimen kerajaan persekutuan.

“Saya dilihat sepentas dengan Umno dalam banyak program dan saya bersedia sepentas dengan Pas dalam apa sahaja program cuma barangkali sentimen saya ‘berhenti’ Pas menjadi hambatan sementara.

“Saya juga sentiasa bersama dengan ahli-ahli Pas di Kuala Nerus apabila berkesempatan berprogram bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, beliau kekal membantu Pas dari belakang untuk berprogram di seluruh negara dari segi kewangan walaupun namanya tidak pernah disebut.

“Ahli-ahli Pas dan petugas ke Muktamar di Kedah ada yang mendapat sumbangan daripada saya sebagaimana amalan sebelumnya ketika saya dalam Pas.

“Saya berlapang dada dan tidak pernah membenci dan marah kepada ahli PAS yang mengkritik saya dalam komen-komen media sosial. Mereka sayangkan Pas dan perjuangan. Mereka adalah saudara seislam dan seperjuangan saya,” ujarnya.

Beliau menegaskan tetap berukhuwwah dan bersaudara dengan semua pimpinan dan ahli Pas dan itulah yang diperjuangkan bersama dan mereka menyambutnya atas semangat persaudaraan dan perpaduan Islam.

Mohd Khairuddin turut menyatakan keyakinan bahawa penyatuan antara Pas dan Umno adalah suara hati 4.2 juta ahli bawahan kedua-dua parti melayu terbesar itu.

“Ia adalah kekuatan buat umat Islam Malaysia dalam politik. Cuma kita perlu sentiasa berusaha meredakan ketegangan dan pertelingkahan yang terlihat di media. Itulah perjuangan,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, menjelaskan beliau ‘berhenti’ dan bukannya ‘keluar’ dari Pas.

“Saya akan terus memperjuangkan cita-cita Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Pas di mana pun saya berada.

“Saya akan terus memperjuangkan cita-cita menyatukan umat Islam khususnya antara Pas dan Umno sebagaimana keputusan Majlis Syura Ulamak 2015 dan sebagaimana roh perjanjian Muafakat Nasional (MN),” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here