Polis buru lelaki intai guru wanita dalam tandas

0
1

POLIS kini sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mengintai guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara, Seksyen 21, Shah Alam, seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang guru wanita berusia 32 tahun pada 15 Ogos lalu berhubung kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati, pada 15 Ogos 2022 guru wanita terbabit ke Kompleks Sukan Negara membawa pelajar untuk latihan perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan.

“Semasa pengadu berada dalam tandas wanita, pengadu dapati seorang lelaki mengintai pengadu dari bilik tandas sebelah. Suspek telah melarikan diri sejurus mendengar jeritan pengadu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, guru berkenaan hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja dan tidak nampak sebarang peralatan dipegang oleh suspek untuk merakamnya.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil. Siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan rakaman CCTV di lain-lain lokasi berhampiran.

“Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Hadi ditalian 016-2745515,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here