HIKMAH disebalik kehilangan motosikal, seorang penghantar barang yang juga orang kurang upaya (OKU), dibantu selepas kisah malangnya tular di media sosial.
Nasib malang Mohamad Muadz Jaafar yang kehilangan motosikal akibat dicuri di ibu negara kelmarin, mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu tampil membantu dengan menghadiahkan sebuah motosikal baru kepada lelaki terbabit, semalam.
Menurut Steven, beliau dimaklumkan mengenai nasib malang menimpa penghantar barang itu di media sosial semalam ketika sedang bersarapan bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Kuala Lumpur.
“Memang sedih sangat-sangat kisah ‘brader’ ni . Namanya Muadz, dia OKU dan motosikal yang digunakan untuk cari makan sebagai ‘rider’ Lalamove hilang kena curi semalam. Berat sungguh ujiannya.
“Selepas sarapan saya bergegas jumpa dengan Muadz. Asalnya dia ingat ‘scam’ sebab tak percaya tapi sebab dah buntu tak tau nak buat apa lagi, dia datang juga. Kami jumpa terus di kedai motosikal dekat rumahnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Muadz menceritakan kisah hidupnya yang terbabit kemalangan tahun lalu yang menyebabkan kaki kanannya kini bengkok teruk dan terpaksa bergerak menggunakan tongkat.
“Tapi demi mencari makan untuk anak isteri, Muadz tetap teruskan kerja sebagai rider Lalamove. Itupun gaji tak tinggi, kais pagi makan pagi, lebih kurang RM1,300 sebulan. Hutang kat rumah pula semakin bertambah. Bil api tertunggak hampir RM1000, bulan ini TNB kata nak potong bekalan.
“Yuran bulanan tadika PASTI anak berumur enam tahun pun RM1,000 tak bayar sejak Mei tahun ini. Pihak PASTI dah hantar surat amaran bahawa anak akan ditahan dari segala aktiviti sekolah dan tak layak terima sijil berhenti,” katanya.
Steven berkata, Muadz mengadu tertekan memikirkan hutang dan pelbagai bil tertunggak dan terus menjadi buntu apabila motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki hilang kelmarin.
“Sebagai seorang ayah saya faham hati Muadz yang berusaha sungguh-sungguh demi menjaga anak-anak. Saya benar-benar merasa kesedihan hati seorang ayah yang hilang upaya mencari nafkah untuk keluarganya. Dia sampai tak makan pun akan pastikan anak-anak dapat makan.
“Motosikal Honda EX5 usang lebih 10 tahun hilang, kini kita ganti balik dan ‘upgrade’ kepada Honda Wave 125i. Geran letak nama Muadz terus,” katanya.

Beliau berkata, harga motosikal terbabit kira-kira RM7,500 dibayar menggunakan wang sendiri dan bukannya peruntukan Ahli Parlimen kerana ia di luar kawasan Parlimennya.
“Ini di luar kawasan Bukit Mertajam, saya tak boleh guna peruntukan, jadi saya guna wang sendiri. Ini mungkin gaji terakhir saya sebagai Ahli Parlimen kalau kerajaan bubarkan parlimen bulan depan. Saya harap Muadz akan jaga motosikal ini baik-baik.
“Bil-bil api tertunggak RM1000 saya juga settlekan, kalau tidak dalam bulan ini elektrik akan dipotong,” katanya yang turut memaklumkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar membantu membayar yuran tadika PASTI anak Muadz.
Steven juga turut berkongsi nombor akaun Muadz di laman Facebooknya bagi orang ramai yang ingin menyumbang dalam membantu penghantar barang itu menjalani pembedahan kakinya. – Malaysiapost

