Bersaing dalam gelanggang PRU jika mahu kuburkan Umno – Shahril

0
1

PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar untuk bersaing di gelanggang Pilihan Raya Umum (PRU), jika ingin menguburkan Umno dan bukan dengan mencemuh parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, berkata bebenang dan kenyataan bekas Presiden Umno itu yang mencemuh Umno dalah mengecewakan, tetapi tidak juga mengejutkan.

“Kerana pendedahan Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bahawa Tun Mahathir pernah memohon Umno dibubarkan, menyerlahkan tahap kebencian beliau bukan lagi terhadap mana-mana individu dalam Umno, malah terhadap Umno itu sendiri. Yakni terhadap akar umbi dan berjuta ahli yang tiada dosa terhadap Tun.

“Jadi ini bukan lagi tentang mana-mana Presiden atau bekas Presiden atau mana-mana pemimpin Umno. Sedangkan waktu Tun berkuasa dan Umno masih belum bangkit pada awal era PH (Pakatan Harapan), Tun masih hendak usahakan agar Umno itu hapus.

“Tetapi hasrat itu tak kesampaian kerana istiqamah pemimpin dan ahli,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dalam satu kenyataan, berkata Umno sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total, dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi.

Katanya, pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak tidak membersihkan Umno selain budaya Umno bukan lagi seperti ketika ianya ditubuhkan dan beliau kini terpaksa menentang Umno kerana tidak lagi berada di landasan sebenar.

Sementara itu, Shahril tidak menafikan jasa Dr Mahathir kepada negara dan beliau antara Perdana Menteri yang paling meninggalkan kesan kepada Malaysia.

“Tetapi ini tak bermaksud Tun boleh cuba bubar kemudian cemuh parti Umno sesedap rasa tanpa kami membalas. Saya faham Tun terkenal dengan lidah tajamnya baik di pentas tempatan atau antarabangsa.

“Tetapi harapan saya, selepas ini simpanlah sedikit kekasaran itu supaya tidak ditujukan sepenuhnya kepada institusi yang mana Tun pernah menjadi pemimpin dan ahlinya walaupun keluar masuk keluar masuk,” katanya.

Beliau berkata, mungkin disebalik kejayaan hidup bekas Perdana Menteri itu, ada juga ‘saham’ dari Umno yang menyumbang.

“Jika Tun merasakan Umno tetap ‘jahat’ dan perlu ditewaskan, Tun bersainglah dalam gelanggang PRU nanti. Berilah pilihan kepada rakyat. Itu hak Tun.

“Sepertimana hak kami untuk menawarkan diri sebagai parti yang menjanjikan kesetiaan dan kestabilan. Tak perlulah sampai mengata seolah-olah semua kami yang jadi ahli Umno ini hodoh, bodoh atau kotor.

“Era ‘My Way or the Highway’ mungkin relevan pada era 1980-an dan 1990-an. Zaman dah beredar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here