Siri jelajah dunia dibatal, Justin Bieber mahu pulihkan kesihatan

0
1

BINTANG Hollywood terkenal, Justin Bieber mengumumkan pembatalan siri jelajah dunia, Justice World Tour di beberapa negara Asia termasuk di Malaysia kerana mahu memberi perhatian kepada masalah kesihatan yang dihadapinya.

Konsert siri jelajah penyanyi sensasi itu masih berbaki di beberapa negara, selepas dia diserang masalah ‘kelumpuhan wajah’ berpunca sindrom Ramsay Hunt, awal tahun ini.

Pembatalan itu diumumkan Bieber menerusi hantaran di Instagram, hari ini.

Katanya, keputusan menamatkan siri jelajah itu dibuat selepas mendapati kesannya kepada kesihatan terutama usaha memulihkan masalah ‘kelumpuhan wajah’.

“Awal tahun ini, saya umumkan perjuangan melawan sindrom Ramsay Hunt yang mengakibatkan sebahagian daripada muka saya lumpuh.

“Berikutan itu, saya tidak dapat menghabiskan siri jelajah, Justice World Tour di utara benua Amerika.

“Bagaimanapun, selepas berehat dan mendapatkan nasihat doktor, saya sambung siri jelajah itu di Eropah dan mementaskan enam konsert yang akhirnya memberi kesan kepada saya.

“Hujung minggu lalu saya beraksi di Festival Rock In Rio dan memberi segala-galanya kepada peminat di Brazil,” katanya dalam entri itu.

Siri jelajah konsert penyanyi itu, Justice World Tour sepatutnya akan bersambung di Afrika Selatan, Asia Barat, Asia, Australia dan New Zealand sebelum kembali ke Eropah, antara Januari hingga Mac tahun depan.

Peminat di Malaysia sepatutnya berpeluang menyaksikan persembahan Bieber di depan mata pada konsert yang akan dipentaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bulan depan.

“Sehubungan itu, saya akan berhenti daripada beraksi di konsert buat sementara waktu.

“Saya akan okay tetapi perlukan masa untuk berehat dan pulihkan kesihatan,” kata Bieber lagi.

Dalam masa sama, Bieber berbangga dapat mementaskan Justice World Tour dan berkongsi mesej positif di sebalik persembahan itu dengan peminat.

“Terima kasih atas doa dan sokongan anda selama ini. Saya sangat sayangkan kamu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here