PELAKON, Nad Zainal memohon semua pihak untuk berhenti mengaitkan satu video temu ramah yang tular di media sosial baru-baru ini, yang mendakwa kononnya dirinya memberi bayangan mengenai keadaan rumah tangganya.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, menjelaskan bahawa temu ramah itu berkenaan isu kecurangan rumah tangga dalam rentetan dari tayangan finale drama bersiri Dendam Seorang Isteri, bukan kehidupan sebenar.
“Berikutan video temuramah yang tular, ramai membuat spekulasi saya memberi bayangan tentang keadaan rumah tangga saya sebelum ini, yang mana tidak benar.
“Please stop! Saya terganggu dengan spekulasi yang berbangkit,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Terdahulu, menerusi temu bual itu, Nad memberi contoh merujuk dirinya, iaitu sekiranya pasangan bersikap curang, dia lebih suka jika si suami berterus terang dan tidak menipu dirinya.
Tambah Nad, sekiranya perkara itu berlaku kepada dirinya, dia tidak akan cuba mempertahankan perkahwinan sebaliknya akan membiarkan suami untuk pergi ke pihak lain dan tidak perlu bergaduh demi mempertahankan rumah tangga.
Tegas Nad, penceraiannya dengan bekas suami Muhammad Faliq Amiruddin tiada kena mengena dengan kehadiran orang ketiga seperti didakwa berdasarkan temu bual berkenaan.
“Tiada orang ketiga. Tiada… Apa yang terjadi tidak perlu dikongsi. Tiada apa yang perlu diambil sebagai contoh. Let’s move on,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Nad mendedahkan ikatan perkahwinan selama tujuh tahun yang dibina bersama suami akhirnya terlerai, namun enggan mengulas lanjut punca perceraian.
Nad dan Muhammad Faliq mendirikan rumah tangga pada 18 Disember 2015.
Sepanjang perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, enam tahun dan Budi Kalsom, berusia setahun. – Malaysiapost

