PELAKON remaja perempuan yang mendakwa dipukul dan menerima gangguan seksuald ari bapa kandungnya seperti didedahkan melalui media sosial, baru-baru ini, sudah membuat laporan polis bersama ibunya berhubung perkara itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, mengesahkan mengenai laporan polis dibuat pelakon berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menerima maklumat daripada polis yang bertanggungjawab membantu menyelesaikan kes berkenaan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.
“Kementerian memandang serius kes sebegitu dan berharap agar tindakan sewajarnya diambil jika apa yang diperkatakan itu benar berlaku demi mendapatkan keadilan sewajarnya.
“Saya juga ingin maklumkan di sini bahawa individu yang mengambil sikap ‘berpeluk tubuh’ daripada melaporkan kes penderaan kanak-kanak, sedangkan mengetahui apa yang berlaku, bakal berdepan hukuman dan kewajipan terbabit selaras dengan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001, yang diluluskan pada 2016,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, Kelantan hari ini.
Siti Zailah turut mengingatkan, bagi sebarang kes penderaan, tiga pihak iaitu pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh sebagaimana yang terkandung dalam Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, wajib melaporkan jika mengetahui ada kes sebegitu berlaku.
“Hukuman penjara dan denda boleh diambil terhadap mereka yang tidak melaporkan kes yang mempunyai sebab munasabah berlakunya kes penderaan dalam apa jua bentuk.
“Selain tiga pihak berkenaan, pihak lain yang secara tidak langsung tampil melaporkan kes penderaan adalah anggota masyarakat. Walaupun tiada kewajipan berbuat demikian, masyarakat wajar menjalankan tanggungjawab untuk menangani kes penderaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan bapa kepada pelakon remaja perempuan berkenaan membuat laporan kelmarin bagi menafikan pendedahan anaknya di media sosial, yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan dipukul lelaki itu. – Malaysiapost

