BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa hukuman penjara 12 tahun ke atas Datuk Seri Najib Razak belum mampu membersihkan Umno dari gejala rasuah secara keseluruhannya.
Menurutnya, Umno sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total, dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi.
“Pemenjaraan Najib tidak membersihkan Umno. Budaya Umno bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti Umno lagi.
“Pucuk pimpinan Umno sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbillion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur Umno itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang menegaskan, beliau kini terpaksa menentang Umno meskipun pernah menerajui parti itu selama 22 tahun kerana Umno tidak lagi berada di landasan sebenar.
“Saya sedih. Tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa “Cash is King”.
“Selama 22 tahun saya memimpin Umno sebagai Presidennya. Sekarang saya menentang Umno dan berusaha supaya kerajaan pimpinan Umno dikalahkan dan Umno tidak lagi menjadi Kerajaan Malaysia.
“Saya terpaksa keluar dari Umno kerana Umno bukan lagi Umno yang ditubuh pada 11 Mei 1946 bukan yang menyelamat Tanah Melayu dari diambil alih oleh British bukan yang berjaya merebut kemerdekaan negara dan kemudian telah bangun negara sehingga terkenal sebagai Harimau Asia,” katanya.
Menjelaskan mengenainya, Dr Mahathir yang juga antara pengasas gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) mendakwa akar umbi Umno menyedari mengenai gejala perosak yang melanda parti mereka, namun tidak bijak untuk membersihkan parti itu daripada gejala berkenaan.
“Rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu.
“Walaupun ahli boleh singkir pemimpin yang menyeleweng, tetapi mereka tidak guna Perlembagaan Umno untuk bersihkan parti. Sebaliknya mereka teruskan sokongan kuat kepada Presiden yang akhirnya didapati bersalah dan dipenjara,” katanya.
Mengenai hukuman terhadap Najib, Dr Mahathir berkata Najib telah diadili secara adil dan luar biasa dalam sejarah perundangan negara.
“Pimpinan dan ahli UMNO menuduh kononnya Najib dianiaya. Konon mahkamah tidak adil. Ini berkenaan seorang yang dibicara selama empat tahun; oleh tiga mahkamah dan sembilan hakim. Tidak ada kes seperti ini dalam sejarah negara. Semua hakim bersetuju Najib salah.
“Yang tidak adil ialah tindakan Najib cuba tutup bangkai gajah dengan memecat sesiapa yang cuba siasat apa-apa berkenaan salah laku 1MDB,” katanya.
Justeru, Dr Mahathir menegaskan, Umno perlu dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.
“Mereka (ahli Umno) nafi, tetapi rakyat tahu mereka mengongsi duit yang dicuri, duit haram. Ramailah pemimpin Umno yang memiliki sampai dua billion Ringgit. Wakil rakyat, Menteri pun biasanya tidak boleh ada duit sebanyak ini.
“Dan semua perlakuan ini diterima, disokong dan dipertahan oleh Umno. Pendirian dan sikap Umno menunjuk seluruh parti itu tidak lagi berpegang kepada prinsip perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.
“Saya, bekas Presiden Umno dan ahli Umno di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama Umno sekarang ini ditolak sepenuhnya,” katanya. -Malaysiapost

