Najib hadir ke mahkamah, dilihat dalam keadaan baik

0
1

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 billion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Najib dilihat berada dalam keadaan baik walaupun beliau dilapor dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur semalam.

Memetik laporan Berita Harian, Ahli Parlimen Pekan itu yang memakai sut warna gelap diiringi pegawai penjara memasuki bilik Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Turut berada di mahkamah hari ini ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disahkan sabitan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu yang menolak rayuan akhirnya membabitkan pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Semalam, pegawai khasnya memaklumkan bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan stabil selepas melalui semua pemeriksaan perubatan yang diperlukan

Perbicaraan 1MDB hari ini mendengar keterangan bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa yang disoal balas oleh peguam Najib.

Najib, 69 menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here