Takiyuddin tunjuk bukti Umno dijemput ke Muktamar Pas

0
2
takiyuddin

SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini mendedahkan bukti bahawa Pas sudah menghantar jemputan kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menghadiri Muktamar Pas yang diadakan di Kedah kali ini.

Menurutnya surat jemputan itu dihantar terus ke pejabat Presiden Umno dan juga secara maya, namun tiada jawapan balas.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli turut menunjukkan kad undangan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran di telefon pintar miliknya.

“Saya ini seorang peguam, saya bercakap kalau ada bukti, saya boleh tunjuk jemputan yang telah dipanjangkan kepada Umno Malaysia (seperti) yang saya beritahu semalam.

“Saya telah memastikan jemputan telah dikemukakan, pertama jemputan ke Muktamar Pas kali-68, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, ini bukti saya, dan ini sekalikan jemputan secara online,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman Pokok Bersama Komuniti Kota Sarang Semut di Kompleks Pas Kedah, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan,Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menafikan menerima jemputan ke Muktamar Pas kali ini, Takiyuddin menegaskan jemputan itu juga turut dihantar melalui Pas Kedah.

“Umno Kedah saya difahamkan ada dihantar tetapi bukan melalui pejabat saya dan ia melalui Pas Kedah, nanti (itu) saya check (secara teliti).

“Sebenarnya (isu ini melibatkan) dua perkara perkara berbeza, satu menghantar jemputan dan jemputan itu diterima oleh orang berkenaan, biasanya kita hantar ke pejabat, saya boleh beritahu pegawai yang ambil jemputan ini boleh kita beritahu, jadi kita anggap benda itu telah sampai.

“(Namun) apabila sampai ke pejabat parti itu, secara terus ke pejabat, dan melalui maya, tiada jawapan balas (yang diterima pihak Pas), kita minta dia hantar balik (jawapan), sebab kita (nak siapkan) RSVP (dan sebagainya sebagai persiapan),” katanya.

Semalam, Umno Kedah menegaskan bahawa tidak menerima sebarang undangan atau jemputan bagi menghadiri Majlis Muktamar Tahunan Pas ke-68. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here