Pembela Najib berdepan risiko tindakan undang-undang – Zaid Ibrahim

0
1

PIHAK yang membuat kenyataan membela bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan kes SRC International, berdepan risiko tinggi dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim, mendakwa beliau dan pemimpin Umno lain berdepan risiko itu seperti yang berlaku kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Hari ini dalam Umno kita bersuara…saya bercakap di sini dan juga penceramah-penceramah lain, kita ada risiko tinggi.

“Tempoh hari Presiden Umno berucap di Dewan Merdeka..terus siasatan dilakukan untuk kesalahan Akta Hasutan. Bilakah pernah Presiden Umno disiasat dengan Akta Hasutan dalam sejarah negara.

“Beginilah jauhnya Umno dari tembok kuasa hari ini. Bukan sahaja Ahmad Zahid, tetapi saya juga percaya penceramah hari ini seperti Datuk Lokman Noor Adam, juga dituduh dibawah Seksyen 233 Akta Multimedia. Akta yang juga di bawah kepimpinan menteri Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘Solidariti Untuk Datuk Seri Najib Razak’ di Pekan, Pahang, hari ini yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Najib Razak.

Zaid mendakwa, pertuduhan yang dibuat itu adalah kerana menyinggung hati dan perasaan ‘seseorang’.

“Kalau hati tidak boleh terima kritikan orang ramai, apa guna jadi orang politik..apa guna jadi pemimpin. Apabila kita berselindung disebalik undang-undang untuk ‘mematikan’ musuh..apa gunanya?” soalnya tanpa menamakan sesiapa.

Menurutnya, jika kepincangan undang-undang terus berlaku, bukan sahaja Najib menjadi mangsa, tetapi semua rakyat akan menjadi mangsa.

“Kepincangan undang-undang yang berlaku hari ini, yang menggunakan politik dan Pejabat Peguam Negara…kita mesti hentikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here