KHAIRY Jamaluddin mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau berlapang dada apabila diminta untuk memberikan laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.
“Oleh kerana beliau (Mohamad) adalah Ketua Umno Bahagian Rembau dan saya timbalan kepada beliau. Jadi beliau telah minta saya cari tempat lain la sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.
“Saya tidak ada halangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya kerusi Parlimen yang mungkin ditandingi pada PRU15, Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai persediaan atau mengenal pasti kerusi Parlimen yang berpotensi untuknya.
“Saya tidak tahu kawasan lain. Saya berpolitik di Rembau lebih 20 tahun dan hampir 15 tahun saya jadi Ahli Parlimen Rembau. Sekarang saya kena berusaha sekiranya ada kawasan yang sanggup menerima saya. Atau senario terburuk, saya tidak bertanding tapi tiada masalah bagi saya,” katanya.
Sebagai orang parti, bekas Ketua Pemuda Umnoitu berkata beliau akan mengikut apa sahaja keputusan pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung calon PRU15 dan kerusi yang perlu ditandinginya. -Malaysiapost

